Nation
938

Balu kepada pengawal yang meninggal dunia diserang terima faedah Perkeso

Ipoh – Balu kepada pengawal keselamatan yang meninggal dunia setelah sekian lama terlantar sakit akibat diserang penyewa sebuah kondominium menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata mendiang S. Thava Sagayam, 64, merupakan seorang pencarum Perkeso dan warisnya layak untuk menerima faedah di bawah Skim Bencana Kerja iaitu Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Orang Tanggungan (FOT).

Menurutnya, balu kepada mendiang iaitu E. Philomena, 59, layak menerima FHUS yang dibayar untuk sepanjang tempoh mendiang menerima cuti sakitnya iaitu dari tarikh mula kemalangan sehingga tarikh kematian berjumlah RM12,737.32, FOT yang dibayar secara bulanan untuk seumur hidup sebanyak RM1,143.90 dan FPM berjumlah RM2,000.

“Ramai yang tidak mempunyai kesedaran apabila suami menjadi pencarum dan meninggal dunia, isterinya akan menerima pencen jadi saya ingin memberi amaran kepada majikan jangan mengambil kesempatan kelembapan ekonomi untuk tidak membayar caruman kepada pekerja kerana saya lihat terlalu ramai majikan gagal mencarum.

“Saya akan meminta penguat kuasa Perkeso untuk menjalankan pemeriksaan di semua tempat kerja dengan disertai Jabatan Tenaga Kerja untuk terlibat dalam operasi supaya memastikan nasib pekerja dibela kerana ia menjadi isu besar apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada pekerja…bayaran caruman Perkeso bukanlah terlalu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan faedah Perkeso kepada Philomena di kediamannya di Taman Buntong Ria di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Saravanan berkata majikan yang gagal mencarum boleh dikenakan kompaun dan didakwa di mahkamah yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Saya akan menjemput Persatuan Pengawal Keselamatan Malaysia untuk berbincang kerana kes sebegini banyak berlaku di syarikat keselamatan…terdapat pekerja berusia 60 tahun ke atas tidak dibayar caruman maka saya akan mengambil tindakan segera untuk pemantauan,” katanya.

Pada Jumaat lepas, mendiang Thava Sagayam meninggal dunia selepas lama terlantar sakit berikutan diserang seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana mendiang cuba menghalang anak suspek daripada menggunakan kolam renang di sebuah kondominium yang tidak dibuka kepada orang ramai pada 29 Dis tahun lepas.

Susulan itu, polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Jan lepas kerana mendatangkan kecederaan parah, dan kes akan disebut semula pada 9 Sept ini.

Dalam pada itu, Saravanan berkata beliau akan membuat pengumuman rasmi berhubung satu program khas caruman jaringan keselamatan khususnya bagi golongan isteri yang tidak mempunyai pekerjaan sebagai satu daripada 20 program berimpak tinggi yang disasarkan dalam tempoh 100 hari oleh Kementerian Sumber Manusia.

Katanya, Perkeso telah mengaturkan program melibatkan seramai 150,000 golongan ibu yang berdaftar dengan Sistem e-Kasih untuk menerima caruman jaringan keselamatan.

“Kita akan bagi caruman jaringan keselamatan kepada golongan ibu kerana dalam keadaan kelembapan ekonomi, saya lihat apabila suami tidak bekerja, isteri hadapi sakit kronik dan tidak mampu mendapatkan perubatan yang wajar maka ini waktu dan masanya memberi jaringan keselamatan kepada wanita yang berada di rumah,” katanya.

Beliau berkata bagi ibu tunggal pula, mereka yang berdaftar dengan Sistem e-Kasih turut layak menerima caruman berkenaan manakala isteri yang bukan berdaftar turut dialu-alukan membuat caruman dengan kadar yang rendah, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu