Social
100

Banduan lolos berjaya ditahan

Kota Bharu – Banduan yang melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, di sini, semalam, berjaya ditahan polis, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata lelaki berusia 31 tahun itu diberkas di Tumpat pada jam 5 pagi.

Terdahulu, beliau berkata, anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu serta Tumpat, mengekori suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 di sekitar kawasan Masjid Kelaboran, Tumpat.

“Suspek kemudian berjaya ditangkap ketika bersembunyi dalam parit selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke tali air di Kampung Terbak, Tumpat.

“Suspek mengaku melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa pada jam 10 pagi semalam. Dia kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

“Polis juga merampas motosikal ditunggang suspek, namun tidak ada rekod yang menunjukkan motosikal itu dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau sekali gus mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sama-sama membantu menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya diberkas dalam masa singkat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima panggilan daripada pihak penjara memaklumkan bahawa seorang banduan lelaki melarikan diri pada jam 10.13 pagi semalam.

Siasatan awal mendapati suspek adalah banduan tahanan reman perbicaraan kes mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya, di Penjara Pengkalan Chepa sejak 22 Mac lalu.

Abdul Rahim dipetik sebagai berkata, pihak penjara memaklumkan bahawa suspek disedari melarikan diri ketika proses pembuangan sampah, dipercayai dengan memanjat pagar di kawasan menara penjara berkenaan. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu