Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Banduan lolos Pusat Koreksional diburu polis

JASIN — Polis giat mengesan seorang banduan lelaki yang meloloskan diri dari Pusat Koreksional Jasin, di sini petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman, berkata kehilangan Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 44, disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan kira-kira jam 2.20 petang.

Menurutnya, banduan terbabit kes samun itu sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan itu.

“Polis menerima laporan kehilangan banduan itu pada jam 7.03 malam yang dibuat pengadu selepas menyedari kehilangan suspek ketika dia berada di Pejabat Pegawai Yang Bertugas (PYB) giliran awal Pusat Koreksional Jasin.

“Berdasarkan laporan itu, tahanan terbabit dilihat kali terakhir memakai baju banduan hijau serta selipar,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Fadzli berkata, sejurus menerima laporan pihak polis segera menggerakkan pasukan bagi membantu mengesan suspek.

Katanya, operasi mencari banduan terbabit sedang giat dilakukan termasuk siasatan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan mengenai kemungkinan berlaku kecuaian hingga menyebabkan tahanan lolos dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tahanan ini diminta menyalurkan maklumat kepada kepada polis atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Tags: , ,