KUALA LUMPUR — Tiga beranak berdepan detik cemas apabila rumah banglo didiami mereka di Taman Halaman, Ampang Jaya, di sini, ditimpa tanah runtuh dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, tiga beranak yang terselamat tanpa sebarang kecederaan itu terdiri pasangan suami isteri masing-masing berusia 39 tahun dan anak lelaki mereka berusia 11 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.26 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi.
“Sejurus anggota bomba tiba, pemeriksaan mendapati tanah runtuh berlaku di bahagian belakang banglo lima tingkat, dengan tanah dan batuan dari kawasan cerun menimpa dan merobohkan dinding dapur di tingkat satu serta bilik tidur di tingkat dua.
“Anggota bomba kemudian melakukan pemeriksaan menyeluruh di tempat kejadian, termasuk memeriksa pergerakan tanah sebelum memasang sawar-sawar di kawasan tanah yang runtuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kemudian dilakukan petugas Unit Cerun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk tindakan seterusnya, lapor BH Online.