Nation
867

Banjir di Selangor: Amaran diberi tetapi tidak diendah : PM

Kuala Lumpur – Andaian hanya negeri di pantai timur Semenanjung yang akan terjejas banjir akibat luruan monsun telah menyebabkan banjir luar biasa di Selangor pada 18 Dis lepas setelah amaran tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dengan pengurusan bencana.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat termasuk di Selangor, sebelum bencana itu yang tidak dipedulikankan sesetengah pihak.

“Perlu saya tekankan di sini bahawa banjir di Selangor merupakan suatu kejadian yang luar jangka dan berikutan kelemahan yang telah dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan saya terpaksa campur tangan,” katanya ketika menerangkan situasi bencana banjir penghujung 2021 pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata pada tempoh sama, terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir malah ada negeri yang dilanda banjir pada skala yang lebih buruk seperti Pahang.

Namun katanya disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah adalah teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran.

Perdana Menteri berkata arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara jelas menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.

“Dari segi Perintah dan Kawalan, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dikendalikan oleh Ketua Polis Daerah dan Pegawai Bomba Daerah masing-masing bertindak sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) perlu dibuka oleh urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat yang berkaitan,” katanya.

Ismail Sabri berkata banjir di Selangor pada 18 Dis lepas berlaku akibat jumlah purata taburan hujan luar biasa menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan dan kejadian air pasang pula menyebabkan banjir itu lebih buruk.

“Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam kabut berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar.

“Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu