Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Banjir: Lebih 45,000 mangsa berada di PPS pagi ini

Kuala Lumpur – Sebanyak 45,324 orang daripada 13,065 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri pagi ini.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 290 PPS di Pahang, Selangor, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Di PAHANG, sebanyak 25,318 orang berada di 179 PPS yang beroperasi di semua daerah kecuali Rompin dan Cameron Highlands setakat 9 pagi ini.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula menyatakan tiga sungai berada di paras melebihi bahaya iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Bera (Bera), namun sungai itu menunjukkan trend menurun.

Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan pula berada di paras amaran.

Jabatan Meteorologi meramalkan hujan di beberapa tempat di Kuantan dan Pekan, manakala cuaca di daerah lain dijangka baik pagi ini.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir pada awal pagi ini meningkat kepada 18,484 orang di 99 PPS di negeri itu berbanding 17,656 orang malam tadi.

Setakat 4 pagi tadi, polis Selangor memaklumkan sembilan jalan dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan di negeri berkenaan.

Di KELANTAN, 862 mangsa banjir masih ditempatkan di lima PPS yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas, setakat 8.18 pagi.

Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya dengan hanya satu sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas yang merekodkan bacaan 8.01 meter.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu adalah 292 individu daripada 84 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir turun kepada 35 orang daripada 12 keluarga setakat 8 pagi.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS yang dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.

Di PERAK, setakat 7.46 pagi, jumlah mangsa banjir ialah 99 orang daripada 25 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak sejak seminggu lepas.

Fenomena ‘banjir termenung’ menyebabkan air banjir lambat surut berikutan air pasang besar di kawasan Changkat Jong yang sering kali terjejas banjir saban tahun.

Sementara di ibu negara, kemas kini terakhir Info Bencana JKM menunjukkan 234 mangsa masih berada di sebuah PPS setakat pagi semalam, lapor Bernama.

Tags: , , ,