Nation
191

Banjir: Lebih RM125 juta Bantuan Wang Ihsan telah disalur : PM

Kuala Lumpur – Sejumlah RM125.504 juta telah disalurkan kepada negeri-negeri yang terjejas banjir bagi tujuan pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah sehingga semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi mangsa-mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan banjir (PPS), prestasi pengagihan adalah 97.3 peratus daripada bilangan ketua isi rumah yang layak bagi gelombang pertama banjir meliputi lapan negeri.

“Prestasi pengagihan bagi gelombang kedua pula adalah 57.3 peratus meliputi negeri Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor,” katanya ketika sesi penerangan berkenaan situasi bencana banjir penghujung 2021 pada persidangan khas Parlimen hari ini.

Menurutnya bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS, prestasi pengagihan adalah 50.8 peratus.

Beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula telah menyalurkan RM25 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menggunakan tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi pengagihan Bantuan Pembelian Keperluan Asas (BPKA) kepada ketua isi rumah yang layak.

Ismail Sabri berkata kerajaan telah mengumumkan bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir kali ini.

“Jumlah ini adalah bantuan secara terus oleh kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan. Selain daripada jumlah ini, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan bagi pembaikan infrastruktur, kerosakan dan sebagainya yang jauh melebihi nilai tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata antara bantuan lain yang diberikan adalah membina dan membaik pulih rumah; baucar diskaun pembelian alat elektrik dan rebat bil elektrik bulan 12/2021; pinjaman mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk isi rumah; pinjaman TEKUN untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta moratorium pinjaman mangsa banjir.

Mengenai perkembangan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan infrastruktur, Ismail Sabri berkata 99.67 peratus telah siap dilaksanakan bagi kerja pembersihan Fasa 1 melibatkan enam negeri iaitu Johor, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 18 Jan lepas.

“Manakala 100 peratus bagi Fasa 2 yang melibatkan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Melaka telah dibersihkan dengan jumlah sisa terkumpul yang dibersihkan bagi kedua-dua fasa adalah 85,516 tan,” katanya.

Selain itu, semua kawasan yang terjejas bekalan elektrik telah disambung semula sehingga 11 Jan lepas manakala 1,058 dari 1,066 infrastruktur komunikasi yang terjejas telah diperbaiki setakat semalam.

“Dalam pada itu, terdapat kerosakan infrastruktur awam, premis-premis kerajaan, kerugian perniagaan, kediaman rakyat dan lain-lain kerosakan sedang dinilai oleh agensi berkaitan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu