Nation
217

Banjir Yan: Mayat mangsa keempat ditemukan

Yan – Mangsa keempat yang maut dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai ditemukan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Udang, pada 3.10 petang tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abdul Wahab Mat Yasin, berkata mayat Mohamad Faizal Mohd Zohir, 28, yang hilang di Titi Hayun, ditemukan setelah pihaknya meluaskan kawasan operasi mencari dan menyelamat hari ini.

“Dua lagi mangsa masih hilang iaitu seorang di kawasan Titi Hayun dan seorang di Batu Hampar… Operasi ini (melibatkan) jarak yang panjang antara 6 hingga 7km.

“Kepala air itu turun bersama sisa-sisa hutan, ada kemungkinan mangsa tertindih atau tertimbus, jadi memerlukan pencarian teliti dengan bantuan Unit Anjing Pengesan K9,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di Titi Hayun.

Beliau berkata, pihaknya juga menggunakan dua unit dron daripada JBPM Kedah untuk memantau operasi pencarian dari udara dan kaedah itu diharap dapat mempercepat proses mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.

Menurut Abdul Wahab, operasi itu turut disertai anggota bomba dari luar Kedah iaitu 10 dari Pulau Pinang, 10 anggota dari Perak dan tiga anggota dari Perlis bagi menguatkan lagi keanggotaan dalam operasi yang bermula semalam hingga selesai.

Setakat 4.30 petang tadi, empat mangsa ditemukan maut, seorang cedera dan dua masih hilang selepas terlibat dalam banjir yang berlaku kira-kira 5 petang Rabu.

Selain Mohamad Faizal, turut maut akibat dibawa arus kepala air ialah Zahinor Murad, 65, yang ditemukan pada 12.10 tengah malam tadi dan Ahmad Din, 64, yang ditemukan kira-kira 6.30 petang Rabu.

Seorang lagi mangsa ialah pekerja The Jerai Hill Resort, Sharuzi Mohamad, 53, ditemukan meninggal dunia di kawasan tanah runtuh di Gunung Jerai pada 10.35 malam Rabu.

Abdul Wahab berkata seorang lagi mangsa ialah adik kepada Zahinor iaitu Abdullah Murad, 64, mengalami kecederaan selepas ditemukan dalam keadaan berlumpur dan kawasan berbatu licin.

Sementara itu, beliau berkata tinjauan pihaknya dari udara mendapati tiada kesan tanah lapang atau kawasan terbuka di puncak Gunung Jerai.

“Memang nampak kawasan aliran air terjun ada saiz besar, sederhana dan kecil… Aliran berbeza lokasi, tapi mungkin aliran bercantum di bawah,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu