Nation
47K

Bank perlu perjelas moratorium kepada golongan M40 : Mustapa

Kuala Lumpur – Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) diharap dapat memberi penjelasan terperinci mengenai moratorium kepada golongan M40 yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata berdasarkan maklum balas diterimanya, ramai golongan M40 termasuk usahawan dan profesional semakin tertekan serta terdesak untuk mendapatkan bantuan.

“Ramai mengharapkan moratorium menyeluruh seperti dibuat pada tahun lalu. Bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mikro, mereka tiada masalah (untuk mendapatkan moratorium), tetapi bagi M40 yang terkesan, mengalami kekurangan pendapatan, mereka juga boleh memohon dan pihak bank sudah beri jaminan ia boleh diluluskan.

“Pihak bank perlu mencari kaedah lebih tuntas dalam memberikan pencerahan (mengenai moratorium),” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Bicara Politikonomi – ‘Lockdown dan Ekonomi Negara’ di TV1 terbitan RTM, semalam.

Mustapa berkata, pihak bank juga mungkin boleh menyediakan ‘helpdesk’ bagi kes tertentu supaya mereka yang terkesan dan tidak ada pertimbangan lain dapat membuat aduan.

“Sudah pasti yang terbaik ialah moratorium automatik, tidak membabitkan kerenah birokrasi.

“Saya berharap bank akan cuba membantu golongan terkesan (yang tidak mendapat moratorium secara automatik) dan yang patut ditolong ini,” katanya.

Mustapa berkata meskipun pemulihan ekonomi dijangka bertambah baik sejak akhir tahun lalu, namun dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, keadaan kembali ‘parah’ kerana kebanyakan perniagaan tiada lagi simpanan tunai atau mendapat bantuan lanjut.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak dapat memenuhi kebanyakan permohonan usahawan, namun diharapkan semua pihak termasuk bank dapat terus berbincang dan mencari kemajuan dalam perkara itu.

“Mungkin Bank Negara Malaysia (BNM) boleh menjadi orang tengah untuk mencari jalan bagaimana dapat memberi pencerahan supaya isu dihadapi ini boleh ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam keadaan yang dinamik dan tidak menentu akibat COVID-19, sukar untuk menjangka situasi mengenai pemulihan ekonomi, melainkan kerajaan mempercepat proses vaksinasi COVID-19.

“Jika ada permohonan daripada syarikat swasta untuk membeli sendiri vaksinasi, sudah pasti kerajaan boleh mencari jalan bagaimana dapat mempercepatkan vaksinasi.

“Seterusnya ia boleh mengembalikan keyakinan pelabur dan ekonomi cepat pulih seperti yang dilihat di Amerika Syarikat, negara Eropah dan Australia,” katanya. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu