Nation
178

Bantuan RM500 sekali-beri untuk pemandu bas ekspres

Putrajaya – Kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan secara sekali-beri RM500 kepada semua pemandu bas ekspres di seluruh negara, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata pemberian bantuan itu membabitkan anggaran 6,600 penerima dengan peruntukan berjumlah RM3.3 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Syarat utama penerima bantuan itu ialah individu atau pemandu bas ekspres adalah warganegara Malaysia dan berdaftar secara rasmi sebagai pekerja dengan syarikat bas ekspres, serta mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang masih sah.

“Individu atau pemandu yang telah menerima bantuan sebagai pemandu bas sekolah, bas pelancongan, teksi atau e-hailing sebelum ini, tidak lagi layak menerima bantuan kepada pemandu bas ekspres,” kata Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini.

Syarat lain adalah individu atau pemandu bas ekspres mempunyai Lesen Vokasional yang sah dengan mengambil kira tempoh pengecualian pembaharuan Lesen Vokasional yang telah diberikan Kementerian Pengangkutan (MOT) sepanjang 2021.

Beliau berkata hanya syarikat atau pengusaha bas ekspres yang mempunyai lesen pengendali dan/atau lesen/permit kenderaan bas ekspres yang sah, dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak, layak memohon bantuan berkenaan.

Ka Siong berkata pihak syarikat atau pengusaha bas ekspres dikehendaki mengemukakan maklumat individu atau pemandu bas ekspres di bawah syarikat masing-masing yang lengkap, kepada pihak APAD dan LPKP Sabah dan LPKP Sarawak bagi tujuan saringan kelayakan dan penyaluran bantuan.

“Pihak syarikat atau pengusaha bas ekspres boleh mula menghubungi pejabat APAD dan LPKP Sabah dan LPKP Sarawak terdekat bagi tujuan penyelarasan pemberian bantuan itu,” katanya.

Ka Siong berkata proses penyaluran bantuan akan dilaksanakan segera sebaik sahaja peruntukan bantuan diterima MOT dan agensi pelaksana berkaitan.

“Mudah-mudahan bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada pemandu bas ekspres dalam mengharungi waktu sukar akibat pandemik COVID-19, dan seterusnya kembali bangkit untuk meneruskan operasi apabila keadaan beransur pulih sepenuhnya kelak,” katanya.

Ka Siong berkata MOT juga akan mengenal pasti langkah dan meneliti garis panduan bagi membantu pihak pengusaha bas ekspres dapat menyediakan perkhidmatan ke tahap yang normal, dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berwajib lain dan persatuan syarikat serta pengusaha bas ekspres.

Beliau berkata garis panduan dan langkah pengoperasian yang selamat akan dibangunkan, bagi membantu pengusaha bas ekspres memberikan perkhidmatan dengan baik apabila perjalanan rentas sempadan dibenarkan kelak, serta menyokong pelaksanaan perjalanan pelancongan domestik terhad yang akan dibenarkan oleh kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu