Social
197

Bapa akui cuai, tertidur punca 2 anak kecil berkeliaran waktu malam

Johor Bahru – Seorang bapa mengakui disebabkan kecuaiannya tidur terlalu lena menjadi punca dua anak perempuan berusia satu dan tiga tahun berkeliaran tanpa pengawasan di sekitar Kampung Melayu Kulai di Kulai, hari Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata keberadaan dua kanak-kanak tempatan itu yang dikesan berkeliaran pada 11.50 malam hasil aduan orang awam sebelum polis bergegas ke lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan, kami dapati tiada sebarang kecederaan yang disyaki akibat didera atau trauma terhadap kanak-kanak terbabit,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata susulan kejadian itu pihaknya bertindak mengesan ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit sebelum didatangi seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, 30 minit kemudian yang mengaku dia adalah bapa kandung mangsa.

Katanya, hasil dokumentasi mendapati lelaki itu merupakan bapa dan penjaga yang sah serta mengakui telah cuai dalam menjaga kedua-dua anaknya itu kerana tertidur berikutan isterinya yang berusia 18 tahun bekerja syif malam.

Tok berkata kanak-kanak terbabit didapati keluar kira-kira 50 hingga 100 meter dari rumah mereka.

Menurutnya polis telah memberikan amaran keras kepada bapa kandung dua kanak-kanak itu dan mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dengan segera.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang menunjukkan dua kanak-kanak terbabit ditemukan pihak polis dan orang awam di tepi jalan. – Bernama

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu