Social
180

Bapa bayi tertukar sudah buat laporan polis

Shah Alam – Suami kepada usahawan dalam talian, Siti Suriani Wahiddin atau Siti Jamumall sudah membuat laporan polis pagi tadi berhubung kejadian bayi mereka yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata menurut laporan yang dibuat, suaminya, Mohammad Syafiq Irfan Azman, 23, menyedari tanda nama pada kaki bayi itu bukan nama isterinya.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam ada menerima laporan polis pada hari ini mengenai tertukar bayi. Kes diklasifikasi sebagai ‘Rujuk Majistret’.

“Laporan dibuat oleh bapa bayi itu pada jam 9 pagi tadi. Menurut laporannya, ketika dia hendak gunting tag pada bayi itu, dia menyedari nama ibu pada tag berkenaan bukan nama isterinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya tidak akan memanggil pihak hospital swasta terbabit untuk diambil keterangan.

Bagaimanapun, pihaknya membuat semakan dari sudut perundangan, sama ada terdapat kesalahan lain.

Terdahulu, media melaporkan kejadian itu dikongsikan sendiri oleh Siti Suriani, 23, melalui Facebook (FB) Live bermula jam 7.40 malam tadi.

Katanya, dia melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi Jumaat dan pihak hospital membenarkan dia serta bayinya pulang ke rumah, semalam.

Bagaimanapun, dia menyedari bayi itu bukan anak mereka ketika suaminya mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu mendapati ia milik wanita lain dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

“Saya gementar dan terkejut selepas melihat tanda nama wanita lain sebagai ibu bayi itu yang diletakkan di kakinya. Saya tidak pasti bagaimana kejadian tertukar anak ini boleh berlaku,” katanya.

Sebaik menyedari perkara itu, Siti Suriani berkata, beliau dan suami terus menghubungi pihak hospital untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Jika suami tidak menyedari nama ibu pada tanda nama itu, sampai bila-bila kami menyangka dia anak kami walaupun terdetik di hati saya wajah bayi ini berbeza,” katanya.

Difahamkan, Siti Suriani melahirkan bayi lelaki kira-kira jam 2.30 pagi semalam yang juga anak keduanya selepas berkahwin pada April 2019 ketika berusia 19 tahun. — BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu