Social
206
0

Bapa didakwa lakukan amang seksual terhadap anak kandung

Butterworth – Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya berumur tujuh tahun.

Noor Azuan Azmi, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noorhayati Mohamad Yunus.

Tertuduh yang juga seorang duda dan tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa melakukan kesalahan berkenaan di dalam sebuah rumah di Lorong Chempa Telaga Air di sini, pada 15 Nov 2020 hingga 20 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat dan Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang daripada dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Alhumayrah Kamaruzaman manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Anbananthan Yathiraju.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu dan berhubung dengan mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Mac. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu