Kuala Lumpur Post

Social

Bapa durjana akhirnya dicekup

MELAKA — Lebih tiga bulan menghilangkan diri, seorang lelaki akhirnya dicekup polis semalam kerana disyaki merogol anak kandungnya hingga melahirkan anak.

Suspek dikatakan bertindak melarikan diri apabila perbuatannya terbongkar susulan laporan dibuat seorang pegawai perubatan Hospital Melaka yang merawat mangsa pada Oktober 2023.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di tepi jalan Kampung Kelemak Dalam, kira-kira 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, suspek yang mempunyai enam rekod jenayah lampu termasuk berkaitan dadah dikatakan merogol anaknya sejak mangsa berusia 14 tahun.

Katanya, mangsa yang juga anak kedua daripada tiga beradik pada mulanya memaklumkan perutnya sakit sebelum dibawa oleh ibunya untuk pemeriksaan di Klinik kesihatan Durian Tunggal, pada 1.13 tengah hari, 11 Oktober 2023.

“Hasil pemeriksaan, doktor mendapati mangsa mengandung dan dirujuk ke Hospital Melaka kerana di bawah umur.

“Ibu mangsa memaklumkan mahu membuat buku mengandung sebelum doktor melakukan pemeriksaan dan mendapati anaknya mengandung 19 minggu.

“Mangsa memberitahu dia dirogol oleh bapanya sebelum doktor berkenaan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Zainol berkata, mangsa tahu dirinya mengandung, namun tidak tahu apa hendak dilakukan sebelum mengadu sakit perut kepada ibunya.

“Mangsa selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 5 Februari lalu kira-kira jam 1 tengah hari di Hospital Melaka,” katanya.

Sementara itu, Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan suspek direman tujuh hari bermula di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Tags: , , ,