Social
134

Bapa kandung pijak, ugut bunuh 2 anak ditahan

Tawau – Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia di Kampung Andung di Jalan Kabogan, Semporna hari ini, selepas dipercayai memijak dan mengugut bunuh dua anaknya dalam kejadian di Ulu Balung dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata lelaki berusia 20-an itu ditahan pada 7 pagi tadi dan pihak polis turut merampas sebilah parang berukuran 31 sentimeter dipercayai digunakan suspek ketika mengugut mangsa.

“Suspek kini ditahan reman 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan, manakala dua kanak-kanak berumur tiga dan lima tahun itu dirujuk ke Hospital Besar Tawau bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Peter berkata polis menjalankan siasatan dan menahan suspek selepas menerima aduan orang awam semalam berhubung video penderaan dua kanak-kanak, lelaki dan perempuan yang tular di media sosial.

“Pengadu yang bekerja di Ladang Giram Divisyen Ulu Balung mendakwa melihat dua video penderaan kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berdurasi 26 saat dan 16 saat.

“Menerusi rakaman video berkenaan, suspek yang juga bapa kandung kepada mangsa didakwa memijak kanak-kanak malang terbabit beberapa kali di kaki, perut dan leher,” katanya.

Beliau berkata tarikh dan masa kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Peter berkata motif kejadian itu disyaki berpunca daripada masalah rumah tangga dengan isterinya yang berusia 19 tahun.

Katanya suspek bertindak mendera dua anaknya bagi mengugut isterinya untuk pulang ke rumah mereka di perumahan pekerja Ulu Balung. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu