Social
561

Bapa tembak anak perempuan kerana kahwin tanpa izin

Ankara – Seorang wanita berusia 20 tahun dilaporkan kritikal selepas ditembak oleh bapa sendiri kerana berkahwin dengan rakan perniagaannya.

Lapor Daily Star, Kadriye Tengiz dari Turki ditembak di bahagian dada menggunakan senapang patah ketika dia berjumpa dengan bapanya untuk meminta maaf kerana berkahwin tanpa kebenarannya.

Menurut beberapa laporan media, Kadriye jatuh cinta dengan seorang ahli perniagaan tempatan, Oytun Safa Tengiz, 30, namun bapanya menolak untuk merestui perkahwinan mereka.

Pasangan itu kemudian melarikan diri dan berkahwin serta memulakan kehidupan baharu dengan menjalankan perniagaan pertanian organik mereka sendiri.

Dilaporkan, Kadriye merindui ibu bapanya sehingga dia dan Oytun memutuskan untuk pulang untuk meminta pengampunan daripada bapanya, Alphan Akcaoz.

Menurut polis, ketika kejadian, Alphan, 52, menjemput pasangan berkenaan ke rumahnya di wilayah Denizli, barat daya Turki dan kemudian mengajak anaknya ke taman di belakang kediaman sebelum mendesak Kadriye menceraikan Oytun.

Beberapa laporan mendakwa, Alphan mengambil senapang patah lalu menembak Kadriye di bahagian dada dan kepala apabila anaknya enggan berbuat demikian.

Alphan kemudian masuk ke dalam rumah untuk membunuh Oytun namun dia berjaya melarikan diri dan menghubungi pihak polis.

Dilaporkan, polis sudah menahan Alphan dan merampas senapang patahnya.

Pasukan perubatan memberi rawatan kecemasan kepada Kadriye di lokasi kejadian sebelum membawanya ke hospital. — Daily Star

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu