Social
158

Bapa tiri dera bayi berusia 16 bulan ditahan

Tampin – Polis menahan seorang lelaki yang tergamak menumbuk muka serta mencucuh puntung rokok pada anak tirinya yang baru berumur 16 bulan di Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan, di sini, 25 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata polis menahan lelaki berusia 23 tahun itu bersama isteri di Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan pada hari sama selepas menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang merawat bayi berkenaan.

Beliau berkata bayi itu merupakan anak kandung kepada wanita berusia 17 tahun yang berkahwin dengan lelaki berkenaan kira-kira lapan bulan lepas.

“Pada 25 Ogos lepas, pihak kami didatangi oleh pegawai perubatan yang memaklumkan menerima seorang pesakit iaitu bayi berusia setahun empat bulan dalam keadaan lebam pada mata.

“Seorang lelaki mengaku memukul bayi berkenaan kerana sering menangis, dan lelaki itu juga mengaku mencucuh puntung rokok di bahagian tapak kaki kiri bayi itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Anuwal berkata pasangan itu membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan, dan bayi itu kemudiannya dipindahkan ke sebuah hospital di Kuala Pilah untuk diberikan bantuan oksigen dan rawatan lanjut.

Katanya lelaki itu mempunyai rekod lampau dadah dan kini ditahan reman sehingga 6 Sept manakala ibu bayi itu dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak.

Kertas Siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan lelaki berkenaan akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001 manakala ibu bayi itu pula akan didakwa di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak di Mahkamah Majistret Tampin pada Isnin, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu