Kuala Lumpur Post

Nation

Barisan menteri doakan kesejahteraan rakyat, komited majukan negara

KUALA LUMPUR — Memulakan lembaran baharu, barisan menteri Kerajaan Perpaduan merakamkan ucapan Tahun Baharu 2024 dengan mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat, malah turut menyatakan komitmen untuk terus melaksanakan tugas dalam usaha memajukan negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menzahirkan penghargaan kepada warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kualiti kerja yang membanggakan dalam menjayakan segala dasar serta inisiatif KPKM dan mengharapkan kecemerlangan itu dapat diteruskan pada 2024.

“Selamat menyambut Tahun Baharu 2024 kepada seluruh warga KPKM dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula mendoakan semoga negara dan seluruh rakyat sentiasa berada di dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluahkan rasa syukur selepas dikurniakan pasukan yang utuh, mempunyai komitmen tinggi dan bersedia untuk menyambut serta menterjemah visi Malaysia MADANI dalam membuat perubahan dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Dalam konteks PKR, Pakatan Harapan dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, usaha menggarap sokongan rakyat dan memperkukuh kesatuan akar umbi akan terus dipertingkat.

Bagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz fokus utama beliau adalah untuk memastikan pelaburan, perdagangan dan industri terus kekal maju dan berkembang demi kesejahteraan semua.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pula menyifatkan 2023 sebagai tahun yang mencabar tetapi memberikan pengalaman dan pengajaran baharu kepada dirinya, sekali gus beliau bertekad untuk memikul dan menjalankan amanah diberikan dengan lebih baik pada 2024.

“Perkembangan sains dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) akan terus bergerak pantas di peringkat global. Beberapa dasar dan polisi penting telah pun kita lancarkan tahun ini. Justeru, tahun 2024 kita perlu segera membina kapasiti dan kemajuan inovasi berdasarkan bakat dan kebolehan yang kita miliki,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pula mengajak semua lapisan masyarakat terus bersama-sama dalam memajukan negara dan membina masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap 2024 membawa kegembiraan kepada semua dan seluruh rakyat Malaysia terus teguh dan memperkukuh kerukunan dan sikap hormat menghormati di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir pula mendoakan Malaysia supaya makmur, aman, stabil, rakyat terus bersatu, berkasih sayang serta saling menghormati.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2024 dan berharap agar tahun ini membawa sinar dalam kehidupan semua rakyat jelata di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata dalam menghadapi 2024, seluruh rakyat harus bersedia untuk menghadapi lebih banyak cabaran yang mendatang.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersatu padu dan bekerja keras demi memastikan Malaysia yang lebih gemilang bagi generasi masa depan kita,” katanya.

Menteri Digital Gobind Singh Deo turut mengajak semua untuk bersama-sama bersedia mendepani cabaran dunia digital menjelang 2024 dan berharap agar kerajaan dan industri serta rakyat berusaha bersama-sama merealisasikan potensi dalam penggunaan teknologi.

Tags: , ,