Social
150

Bas terbabas: Pemandu ditahan polis

Ipoh – Polis menahan pemandu bas ekspres yang terbabas sebelum terbalik di Kilometer (KM) 265.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora, di sini, awal pagi tadi yang mengakibatkan 14 individu cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah, berkata penahanan dibuat selepas pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 19 rekod saman lampau individu bagi kesalahan trafik selain tiga rekod saman lampau bagi bas yang dipandunya itu.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah itu turut cedera di kaki.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal juga mendapati faktor pemandu terlelap seketika antara punca kejadian yang mengakibatkan dua penumpang cedera parah, manakala yang lain cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang parah adalah seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang cedera di kepala dan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang cedera di pinggang.

Mohamad Nordin berkata siasatan mendapati bas dari Kulim ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan terbalik di sebelah kiri parit (longkang) jalan.

“Kesemua mangsa berusia antara 14 hingga 59 tahun itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan sedang menerima rawatan,” katanya.

Mohamad Nordin berkata, kejadian berlaku di kawasan selekoh sewaktu bas berkenaan sedang menuruni kawasan berbukit tidak jauh selepas keluar dari Terowong Menora. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu