Social
357

Bau busuk seolah bahan toksik gemparkan penduduk

Johor Bahru – Bau busuk seolah-olah bau bahan toksik telah menggemparkan penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, dekat sini, sehingga memaksa mereka keluar dari kediaman masing-masing, tengah malam tadi.

Salah seorang penduduk Rubaiyah Mat Sam, 70, yang menyedari bau kuat sejak petang semalam turut merasa pening-pening.

“Dari siang dah cakap dengan budak-budak ni, bau apa ni, bau najis ke…puas cari depan rumah…tapi takde apa pun.

“Dekat rumah dah ada rasa pening tapi tak tahu apa ya. Makcik dan dia (menantu) pening dah, jadi kami telan panadol,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Raya Kampung Sinaran Baru, Seelong, dekat sini, awal pagi tadi.

Beliau yang tinggal bersama anak lelakinya, menantu dan dua cucu itu berkata dia hanya menyedari kehadiran bomba pada pukul 10 malam dan mendengar khabar ada berlakunya pembuangan bahan toksik.

Beliau berkata, pada tengah malam semalam bomba telah mengarahkan mereka keluar dari rumah untuk tinggal sementara di balai raya itu.

“Bila dengar pasal (ada pembuangan sisa) jadi risau sebab ada cucu umur tiga bulan. Tak tahu nak cari (kemas) apa sebab panik, cari baju tudung semua tak kena,” katanya lagi.

Seorang lagi penduduk Hafiz Badrul Hisham, 37, menyedari bau tersebut kira-kira 8.30 malam.

“Saya terhidu bau yang tidak menyenangkan sehingga terasa sesak nafas. Jadi saya cuba mencari, kemungkinan bau petrol, lama kelamaan makin kuat baunya,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Sri Aman.

Bila jiran-jiran dah keluar, dia berkata ada seorang wanita batuk lalu rebah, jadi dia pergi menolong sementara menunggu bomba tiba.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa Mazlan Bujang berkata penduduk kampung berkenaan yang sebelum ini ditempatkan di balai raya berhampiran, kini ditempatkan semula ke Balairaya Kampung Sinaran Baru yang terletak kira-kira satu kilometer, memandangkan bau yang masih kuat.

“Kita telah uruskan makanan dengan segera dan juga tikar sebagainya untuk mereka tidur. Bila masih berbau, kita pindahkan mereka untuk keselamatan,” kata beliau ketika ditemui di kampung berkenaan, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, dua wanita berusia 20an dan 40an sesak nafas manakala 102 penduduk daripada 25 keluarga dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Hasil siasatan awal, pihak bomba mengesyaki tumpahan yang ditemui di sungai berhampiran adalah methyl alcohol, sejenis bahan buangan berjadual dengan kepekatan 120 ppm (bahagian per juta), lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu