Nation
103

Bayaran balik pinjaman PTPTN ditangguh 3 bulan lagi

Putrajaya – Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam yang layak selama tiga bulan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai esok sehingga 31 Ogos depan.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan diluluskan.

” Butiran berkenaan pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN, “katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Noraini berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

“Diharapkan dengan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi
hingga 5 petang.

Terdahulu, kerajaan telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN tahun lalu mulai 19 Mac hingga 31 Disember kepada semua peminjam PTPTN.

Selain itu, penangguhan khas bayaran balik kepada peminjam PTPTN terkesan dibuat selama tiga bulan di antara Januari hingga Mei lalu. — Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu