Nation
286

Bayaran Fasa 2 BPR 2021 mulai 7 Mei

Putrajaya – Fasa dua Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan diagihkan kepada penerima yang layak secara berperingkat mulai 7 Mei ini membabitkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei ini melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my.

Beliau berkata, fasa dua BPR akan memanfaatkan seramai 3.6 juta isi rumah, satu juta warga emas (bujang dan tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.

“Jika dahulunya penerima daripada kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima.

“Peningkatan peruntukan adalah berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun depan.

Tengku Zafrul berkata, dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, fasa satu pembayaran BPR berjumlah RM1.93 bilion telah dibayar kepada 8.4 juta penerima bermula 24 Februari sehingga 1 April lalu.

Secara keseluruhan, katanya, fasa satu dan dua BPR membabitkan komitmen kewangan berjumlah RM4.68 bilion yang memberi manfaat kepada 8.4 juta penerima.

“Mengimbas kembali, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40 juga telahpun dibayar mulai 21 Januari lalu.

“Oleh itu, setakat ini, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan merangkumi BPN2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2 yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion,” katanya. – Kosmo Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu