Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Bayaran kepada Guan Eng guna invois palsu 2 syarikat tak aktif : Saksi

KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa pembayaran kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dibuat menggunakan modus operandi pemalsuan dokumen membabitkan dua syarikat yang tidak aktif, atas arahan Pengarah Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZCSB, Azli Adam, 58, berkata pembayaran itu dibuat menggunakan invois dan baucer bayaran atas nama syarikat Sinar Bina Consultancy Services (SBCS) dan Bintang Ria Engineering (BRE).

“Antara tahun 2012 sehingga 2017, terdapat beberapa pembayaran yang telah dikeluarkan melalui dua akaun syarikat iaitu Zenith Construction Sdn Bhd dan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, dan pembayaran itu dibuat kepada Datuk Zarul melalui cek-cek yang ditunaikan oleh beliau sendiri dan saya.

“Pembayaran itu dibuat menggunakan modus operandi pemalsuan invois dan baucer bayaran atas nama kedua-dua syarikat itu. Datuk Zarul telah memberi arahan untuk mendapatkan invois ‘dummy’ daripada beberapa syarikat yang wujud tetapi tidak aktif, bagi tujuan menggunakan invois syarikat itu.

“Saya dan Ibrahim Sahari mencari orang tengah yang boleh mendapatkan syarikat sedemikian untuk saya memperolehi invois-invois ‘dummy’ berkaitan,” katanya semasa membacakan pernyataan saksi dalam kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Menceritakan mengenai modus operandi itu, Azli berkata pada awal 2014, beliau ada berjumpa dengan kenalannya di Kuala Lumpur dan meminta bantuan untuk memperkenalkan mana-mana orang yang boleh mendapatkan invois ‘dummy’, dan rakannya itu mencadangkan seorang orang tengah (nama tidak diingati) untuk membantu beliau mendapatkan invois daripada beberapa buah syarikat.

Menurut saksi pendakwaan ke-28 itu, orang tengah tersebut kemudian telah mendapatkan invois daripada syarikat SBCS dan BRE, selain mendapatkan invois daripada syarikat JKM Konsortium Sdn Bhd (JKMKSB) dan Jurutera Konsult Maju Sdn Bhd (JKMSB), untuk digunakan sebagai invois ‘dummy’ bagi membuat pengeluaran wang syarikat CZCSB.

“Datuk Zarul akan mengeluarkan arahan untuk menyediakan cek bagi pembayaran ini. Kesemua cek-cek ini akan disediakan mengikut proses kewangan syarikat dan ditandatangani oleh dua daripada empat pengarah yang telah diberikan kuasa,” katanya.

Azli berkata selepas tangkapan ke atas Zarul dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pertengahan Januari 2018, Zarul telah membuat pengakuan kepadanya dan Ibrahim Sahari bahawa pembayaran-pembayaran yang beliau arahkan untuk memalsukan invois dan baucer bayaran SBCS dan BRE sebelum ini, sebahagiannya adalah untuk pembayaran rasuah kepada Lim.

“Pengakuan beliau (Zarul) kepada saya menjadi titik tolak yang meyakinkan saya bahawa memang pembayaran tersebut dibuat kerana sejak tahun 2012 sehingga 2017, dan Datuk Zarul telah mengarahkan saya dan Ibrahim untuk menggunakan kedua-dua dokumen itu bagi memanipulasikan akaun syarikat dan menutup jejak pembayaran tunai yang dibuat kepada beliau.

“Saya sahkan bahawa apa sahaja pembayaran ke atas invois dan baucer bayaran kepada syarikat SBCS dan BRE, adalah merupakan pembayaran palsu dan butiran dalam ‘description’ bagi Projek Terowong dan Jalanraya Penang adalah tidak sah dan tidak dilaksanakan,” kata saksi itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, Azli berkata beliau tidak pernah berjumpa Lim secara peribadi dan hanya berjumpa ahli politik itu semasa majlis hari raya di Pulau Pinang.

Saksi itu turut mengesahkan bahawa penerangan dalam invois dan baucer bayaran itu diarahkan oleh Zarul, walaupun butiran tersebut adalah palsu namun projek terowong itu merupakan satu-satunya projek yang aktif dan telah dianugerahkan kepada syarikat CZCSB oleh Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh Lim pada masa itu.

Bagaimanapun, Azli berkata SBCS dan BRE tidak mempunyai kaitan dan tidak ada apa-apa kontrak dengan syarikat CZCSB dan invois-invois ‘dummy’ diperolehi daripada dua syarikat itu oleh orang tengah, dengan membeli invois dan segala bayaran ke atas pembelian invois ‘dummy’ dibuat kepada orang tengah tersebut olehnya (Azli).

“Saya tidak tahu dua syarikat ini dimiliki oleh siapa. Apa yang saya mahu hanya invois itu sahaja. Seingat saya, bayaran bagi mendapatkan invois-invois ‘dummy’ tersebut lebih kurang RM10,000 ke RM15,000 bagi satu kali sahaja. Saya membuat bayaran bagi pembelian invois itu secara tunai kepada orang tengah itu,” katanya.

Bagi invois yang diperolehi daripada syarikat JKMKSB, saksi itu berkata beliau hanya tahu syarikat itu dimiliki oleh Datuk Dr Lee dan Datuk Dr Shukri yang merupakan konsultan kepada CZCSB, dan saksi itu juga dimaklumkan oleh Zarul bahawa beliau ada kawalan terhadap syarikat tersebut.

Disoal oleh Gobind, adakah saksi itu tahu penyediaan dokumen-dokumen ini (invois dan baucer bayaran) adalah palsu dan ia satu kesalahan di bawah undang-undang dan saksi itu hanya mengikut arahan Zarul, Azli menjawab “Ya”.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim, yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok, lapor Bernama.

Tags: , , , ,