Social
139

Bayi cedera di kepala dipercayai didera

Johor Bahru – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dipercayai didera oleh pengasuh warganegara Thailand di Jalan Permas 8/12, Bandar Baru Permas Jaya, di sini, 14 Mac yang lalu.

Bapa mangsa, Stanley Seah Yao Chuen, 22, berkata, anaknya yang mempunyai kesan lebam di keseluruhan badannya kini sedang dirawat di Hospital Pakar Puteri KPJ.

Yao Chuen berkata, dua hari sebelum kejadian, dia telah pergi ke rumah pengasuh kira-kira pukul 3 petang untuk menghantar bekalan susu kepada anaknya, Christopher Seah Yi Kai yang dijaga oleh seorang wanita Thailand bernama Pornpim Trinimitr.

“Semasa berjumpa dengan anak saya, saya dapati dia dalam keadaan baik dan hanya terdapat kesan cakar di muka dan lebam di belakang badan serta perutnya.

“Pada 14 Mac lalu kira-kira pukul 4 petang, isteri saya, Aurawee Langthip telah pergi untuk melihat keadaan anak saya dan mendapati terdapat kesan lebam di dahi sebelah kanan dan dalam keadaan tidak bermaya.

“Kami segera membawanya ke Hospital Pakar Puteri KPJ untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam laporan polis yang dibuatnya.

Bapa mangsa berkata, dia telah berjumpa dengan doktor pakar dan dimaklumkan anak lelakinya dalam keadaan kritikal.

Katanya, pemeriksaan yang dibuat pihak hospital mendapati terdapat kesan darah beku di bahagian belakang kepala mangsa.

“Doktor juga memberitahu kemungkinan anak saya telah cedera disyaki akibat hentakan (penderaan) kerana terdapat kesan lebam di keseluruhan badannya.

“Atas nasihat pakar otak kanak-kanak, saya datang ke balai polis buat laporan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Permas Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan pengasuh yang merupakan wanita Thailand berusia 29 tahun telah ditangkap pada 14 Mac lalu bagi siasatan lanjut.

“Mangsa kini dirawat di hospital swasta dan kini berada dalam keadaan stabil. Tangkapan ke atas pengasuh yang telah berkahwin dengan warga tempatan dibuat bagi siasatan lanjut,” katanya. – Utusan Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu