Social
240

Bayi dipercayai terjatuh dari katil meninggal dunia

Dungun – Bayi lelaki berusia 14 bulan yang mengalami pendarahan di bahagian ubun-ubun dan retak tulang kepala dipercayai terjatuh dari katil di rumah pengasuhnya di Paka, di sini meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, mangsa yang sebelum ini tidak sedarkan diri menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-Kanak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, kira-kira pukul 10 malam.

Katanya, kejadian pada Sabtu lalu itu difahamkan berlaku hanya selepas lima minit bapanya yang berusia 30 tahun menghantar mangsa ke rumah wanita berkenaan pada pukul 10.15 pagi.

Menurutnya, bapa mangsa yang ketika itu dalam perjalanan ke kedai makan miliknya di Paka bergegas kembali semula ke rumah pengasuh setelah dimaklumkan isterinya anak mereka yang sihat berdepan bermasalah.

“Setibanya di sana bapa mangsa mendapati anaknya dalam keadaan tidak bermaya dan sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa bapanya bersama pengasuh berkenaan ke Klinik Kesihatan Paka dan diberikan bantuan alat pernafasan sebelum dihantar ke Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, mangsa dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, menurutnya, imbasan tomografi berkomputer (CT scan) menemukan pendarahan dalam kepala pada bahagian ubun-ubun di samping retak tulang kepala di bahagian belakang.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis dibuat oleh doktor HSNZ dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Hasil soal siasat, pengasuh berusia 24 tahun itu memberitahu yang mangsa melompat-lompat di atas katil sebelum terjatuh secara terlentang dengan bahagian belakangnya terhentak ke lantai ketika cuba mengambil pengecas telefon yang jatuh di bawah katil,” katanya. – Utusan Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu