Social
204

Bayi meninggal dunia dalam jagaan pengasuh

Wangsa Maju – Seorang bayi lelaki berusia dua bulan meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kebiruan oleh pengasuhnya dalam satu kejadian di sebuah apartmen di Setiawangsa di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian disedari wanita berusia 50-an itu kira-kira pukul 3 petang ketika dia cuba mengejutkan bayi berkenaan yang sebelum itu sedang tidur untuk memberikan susu.

“Bagaimanapun, bayi itu tidak memberikan sebarang respon dan pengasuh itu mendapati tubuh bayi berkenaan telah kebiruan lalu terus menghubungi ibu bayi tersebut sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Dato Keramat untuk mendapatkan bantuan.

“Sebaik tiba di klinik, kakitangan kesihatan telah memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun tiada sebarang tindak balas dan bayi tersebut seterusnya disahkan telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari.

Menurut Ashari, susulan kejadian itu, pihak polis telah menerima laporan daripada pihak klinik dan siasatan yang dilakukan di tempat kejadian serta di tubuh bayi berkenaan tidak menemui sebarang perkara yang mencurigakan serta kesan kecederaan

“Kami juga telah menerima laporan polis berhubung kejadian daripada keluarga mangsa kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dan telah mengambil keterangan daripada keluara mangsa serta pengasuh berkenaan.

“Siasatan awal mendapati bayi berkenaan baharu sahaja dijaga oleh pengasuh tersebut dan hari ini merupakan hari kelima dia dijaga oleh wanita berkenaan yang tinggal bersebelahan rumah mangsa,” jelas beliau.

Tambah beliau, ibu serta bapa mangsa yang masing-masing berusia 39 dan 37 tahun bagaimanapun menyatakan keredaan mereka berhubung kejadian yang menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu.

“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu