Social
136

Bazar Ramadan di Kelantan dibatalkan

Kota Baharu – Kerajaan Kelantan membatalkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berikutan peningkatan serius kes COVID-19 di negeri berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.

Dr Izani berkata semua acara rasmi kerajaan negeri kecuali mesyuarat-mesyarat penting turut dibatalkan sepanjang bulan Ramadan.

“Kita dapati kadar kebolehjangkitan (di Kelantan) telah naik kepada 1.12 dan ini menggambarkan betapa seriusnya keadaan sekarang. Kita juga menjangkakan kes tiga angka akan berterusan dan mungkin meningkat dalam tempoh seminggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kecil Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Dr Izani berkata berikutan pembatalan program rasmi berkenaan, lokasi program Madinah Ramadan iaitu solat tarawih di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mungkin dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko rendah (PKRC).

Pada 29 Mac lepas, Dr Izani dilaporkan berkata kerajaan Kelantan membenarkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berkenaan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, manakala program Madinah Ramadan dibenarkan namun hanya dengan 500 jemaah berbanding kapasiti asal 1,300 orang.

“Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana semasa kes pada tahap dua angka kita membenarkan bazar Ramadan dibuka, Madinah Ramadan, majlis berbuka, tadarus dan sebagainya.

“Namun, kerana kita jangka kes semakin serius maka kita terpaksa membatalkan semua program terbabit termasuk program tilawah melibatkan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada malam ini. Malah, semua program kerajaan juga dibatalkan kecuali mesyuarat yang terlalu penting,” kata Dr Izani.

Kelantan mencatatkan 171 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes itu sebanyak 7,021 dengan merekodkan 21 kluster yang masih aktif, setakat semalam. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu