Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

GEORGE TOWN — Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Hujan lebat sejak 5 pagi itu mengakibatkan kawasan Bayan Lepas, Bayan Baru serta Bukit Jambul terjejas dan beberapa laluan utama ditenggelami air sehingga menyukarkan kenderaan ringan melalui jalan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata pihaknya menerima maklumat antara kampung dilanda banjir kilat adalah Kampung Masjid, Kampung Manggis, Kampung Perlis, Kampung Binjai dan Kampung Seronok.

”Sebaik menerima maklumat saya dan pasukan DUN terus ke kawasan terlibat bagi melihat dan membantu…puluhan rumah dilanda banjir kilat dan ada kediaman terjejas teruk terutama rumah yang terletak berhampiran Sungai Bayan Lepas.

“Saya bimbang jika ada penduduk terperangkap banjir, namun alhamdulillah semuanya selamat dan setakat 10.15 pagi ini, air telah surut di beberapa kawasan dan tiada penduduk dipindahkan ke PPS,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Binjai, Baseri Hashim ketika dihubungi berkata kira-kira 30 rumah di Kampung Binjai dilanda banjir kilat awal pagi tadi akibat hujan lebat berterusan sehingga 9 pagi.

Beliau berkata air mula naik di kawasan rumah penduduk selepas subuh dan air naik terlalu cepat sehingga ke paras buku lali orang dewasa, namun mangsa terlibat sudah bersiap sedia serta mengambil langkah berjaga-jaga.

”Setakat ini, tiada penduduk dipindahkan ke PPS kerana air kembali surut selepas hujan berhenti tetapi penduduk tetap berjaga-jaga kerana bimbang hujan lebat akan berterusan,” katanya.

Beliau berkata kampung tersebut kerap dilanda banjir sekiranya hujan lebat berterusan kerana berada di kawasan tanah rendah dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera terutama membersihkan longkang serta parit agar tidak tersumbat, lapor Bernama.

Tags: ,