Nation
336

Beberapa lokaliti di 5 negeri dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lagi kawasan di Sabah, Negeri Sembilan, Pahang, Johor dan Kelantan bermula Jumaat ini hingga 22 Julai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata bagi Sabah, antara lokaliti yang terlibat ialah Kampung Sungai Imam di Tawau, Kondominium One Borneo di Kota Kinabalu serta dua kampung di Putatan iaitu Kampung Lembising dan Kampung Dumpil Keramat.

Turut dikenakan PKPD di Sabah adalah Kampung Balibata di Beaufort, Kampung Pintasan di Kota Belud dan Kampung Istimewa, Batu Sapi di Sandakan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata PKPD turut dilaksanakan di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan yang terdiri daripada lapan mukim iaitu Mukim Ampangan, Mukim Labu, Mukim Lenggeng, Mukim Pantai, Mukim Rantau, Mukim Rasah, Mukim Seremban dan Mukim Setul.

Beliau berkata bagi Johor, pelaksanaan PKPD melibatkan beberapa kawasan di Daerah Kulai iaitu Kawasan Perindustrian Indahpura serta tujuh lokaliti dalam Kawasan Perindustrian Senai iaitu Kawasan Industri Senai Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 serta Taman Perindustrian Senai, Taman Perindustrian Murni Senai dan Senai Airport City (SAC).

“Turut dilaksanakan PKPD di Kuarters Pekerja Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Gebeng di Kuantan, Pahang dan dua taman perumahan dalam daerah Kota Bharu, Kelantan iaitu Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Tahak, Membakut di Beaufort, Kampung Tambulion Ulu di Kota Belud dan Kampung Kukut di Beaufort, Sabah serta Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin di Kota Bharu, Kelantan pada 11.59 malam esok.

Sementara itu beliau berkata 29 premis meliputi kilang, perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja diarahkan tutup kerana melanggar arahan kerajaan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sewaktu pemeriksaan oleh Pasukan Petugas Operasi Pematuhan semalam.

Katanya sejumlah 635 individu turut ditahan kerana ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 590 dikompaun manakala 45 direman, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu