Nation
162

Beberapa lokaliti di Sabah, KL dikenakan PKPD

Kuala Lumpur – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di empat lokaliti di Sabah dari 27 Jun hingga 10 Julai manakala dua di Kuala Lumpur bermula esok hingga 9 Julai, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata PKPD di Sabah membabitkan Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih di Tawau serta Lorong 12, 15 dan 16, Taman Fajar dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni di Sandakan.

Di Kuala Lumpur pula, PKPD membabitkan Kampung Segambut Dalam, Segambut dan Jalan Kubur, Pantai Dalam.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan COVID-19 ke kawasan lain,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD itu dipersetujui kerajaan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Ismail Sabri berkata beberapa lokaliti PKPD di Terengganu, Kedah dan Sabah ada yang ditamatkan mengikut jadual dan ada yang lebih awal daripada dijadualkan berikutan terdapat penurunan kes dengan kluster yang terkawal selain semua kes positif telah menerima rawatan.

PKPD yang ditamatkan esok mengikut jadual ialah di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu di Terengganu, Universiti Utara Malaysia, Sintok (Kedah) dan Taman Villa Felca Nambazan, Penampang serta Kampung Kadazan di Tawau selain Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai di Kota Kinabalu (Sabah).

Lokaliti PKPD yang turut ditamatkan esok namun lebih awal daripada dijadualkan ialah Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah (dijadual tamat 29 Jun), Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu, Sabah (dijadual tamat 28 Jun) dan Taman Telipok Jaya, Tuaran, Sabah (dijadual tamat 28 Jun).

Beliau juga berkata Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan mengarahkan dua kilang dan 11 premis perniagaan ditutup dalam pemeriksaan semalam.

“Seperti yang diumumkan beberapa hari lepas, kerajaan akan mempertingkat penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” katanya.

Menyentuh pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri memaklumkan seramai 696 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 671 daripadanya dikompaun manakala 25 lagi direman.

Bagi Op Benteng dalam tempoh sama, beliau berkata seramai 25 pendatang tanpa izin ditangkap dan 14 kenderaan darat dirampas.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu