Nation
118

Beberapa lokaliti di Sabah, Sarawak dikenakan PKPD

Putrajaya – Beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 17 hingga 30 Jun ini, susulan peningkatan kes COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Sabah membabitkan dua lokaliti masing-masing di Kalabakan, Tawau dan Kota Kinabalu serta di Kota Belud dan Kudat.

PKPD yang bakal dilaksanakan di Kalabakan membabitkan Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 11 kes positif di Kampung Rancangan hasil daripada 40 saringan manakala lapan kes positif daripada 11 individu yang disaring di Kampung Kijang Merotai.

Dua lokaliti di Tawau, pula membabitkan Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah.

“Hingga kini, KKM melaksanakan 21 saringan di Kampung Tanjung Batu Tengah, dan 15 daripada mereka dikesan positif COVID-19 manakala di Taman Semarak Megah, 16 kes positif direkodkan hasil saringan terhadap 19 individu di lokaliti terbabit.

“PKPD di dua lokaliti di Kota Kinabalu membabitkan Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil. KKM melaksanakan 21 saringan di Kampung Rampayan, 10 daripada dikesan positif COVID-19 manakala di Kampung Kionsom Kecil, 13 kes positif direkodkan hasil saringan terhadap 36 individu di lokaliti itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud, pula selepas KKM mendapati sebanyak lapan daripada 10 individu yang disaring dikesan positif COVID-19.

KKM juga mendapati kes mula menular dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam lokaliti terbabit. KKM juga mengesan lapan kes positif di PPR Taman Ehsan, Kudat selepas ujian saringan dilaksanakan terhadap 41 individu di situ. KKM turut mengesan kes mula menular dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti terbabit.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di PPR Taman Ehsan, Kudat, Sabah berkuat kuasa 17 Junh ingga 30 Jun 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti itu.

“Sementara itu, PKPD di dua perkampungan di Kuching, Sarawak susulan pengesanan kes COVID-19 di Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas,” katanya.

KKM yang menjalankan sebanyak 264 ujian saringan di Kampung Goebilt merekodkan 24 kes positif manakala di Kampung Muara Tebas, sebanyak 22 kes positif direkodkan selepas 50 individu disaring.

Seperti di kawasan di Sabah, PKPD di dua lokaliti di Sarawak juga bermula pada 17 hingga 30 Jun ini. — BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu