Nation
194

Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus : KP Kesihatan

Kuala Lumpur – Bekalan ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19 di hospital awam seluruh negara tidak terputus sepenuhnya tetapi diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

Katanya sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan COVID-19 telah meningkat secara drastik berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Menurutnya, permintaan dalam negara telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan COVID-19 di hospital awam.

“KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.

“Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.

Bagaimanapun, katanya, KKM telah mengambil beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif ubat di bawah kontrak pusat.

KKM juga, katanya telah melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19.

“KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

“Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan KKM juga sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya yang berkaitan dengan rawatan COVID-19, di samping tetap memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang diperolehi terjamin untuk kemaslahatan rakyat negara ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan banyak hospital kerajaan berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan termasuk yang diperlukan untuk merawat kes COVID-19 seperti Clexane, sejenis ubat antigumpal yang penting dalam rawatan virus itu, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu