Nation
235

Bekas ADUN Melor meninggal dunia akibat Covid-19

Kota Bharu – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Wan Ismail Wan Jusoh, 66, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, pada kira-kira 12.20 tengah hari ini, akibat dijangkiti COVID-19.

Isteri keduanya, Siti Madinah Ilyas Khan, 59, berkata Wan Ismail disahkan positif COVID-19 pada 7 Ogos lepas dan dimasukkan ke wad biasa hospital berkenaan.

“Kemudian arwah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 15 Ogos lepas. Arwah juga sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, Allahyarham suaminya itu juga seorang penghidap kencing manis dan telah ditidurkan di ICU pada Isnin lepas.

“Kami sekeluarga turut dijangkiti COVID-19 kategori satu dan menjalani kuarantin di rumah di Telipot. Begitu juga keluarga di Melor turut dijangkiti,” tambahnya.

Menurut Siti Madinah, jenazah Allhyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bechah Keranji, Melor dekat sini, pada 5.30 petang selepas solat Asar hari ini.

Allahyarham meninggalkan dua isteri, Nurizam Yusoff, 60, dan Siti Madinah serta 14 anak termasuk tiga anak tiri.

Wan Ismail yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Ketereh, pernah menjadi ADUN Melor selama dua penggal iaitu pada 1999-2004 dan 2008-2013.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham melalui hantaran di akaun rasmi Facebook beliau.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu