Nation
283

Bekas CEO 1MDB mengaku berada ‘sedikit’ di bawah kawalan Jho Low

Kuala Lumpur – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau berada ‘sedikit’ di bawah kawalan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Mohd Hazem Abd Rahman, 49, bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh peguam Mardhiyah Siraj bahawa adalah jelas beliau dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir berada di bawah kawalan Jho Low kerana mereka melaksanakan arahannya semasa bermesyuarat dengan firma perakaunan KPMG Malaysia pada 2013.

“Ya, sedikit,” katanya ketika disoal balas oleh Mardhiyah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Mardhiyah merujuk saksi pendakwaan ke-10 itu kepada perenggan dalam penyataan saksi Mohd Hazem di mana beliau menyatakan bahawa Jho Low telah menge-mel satu ‘pakej taklimat’ kepada beliau, Azmi dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Terence Geh sebelum mesyuarat pada 2013.

Pakej taklimat itu mengandungi penjelasan Jho Low yang menekankan mengenai jawapan kepada isu yang dibangkitkan oleh KPMG dan strategi yang perlu diikuti oleh wakil 1MDB semasa mesyuarat tersebut.

KPMG dilantik sebagai juruaudit 1MDB bagi tahun kewangan 2010, 2011 dan 2012 tetapi telah dipecat pada 2013 selepas enggan menandatangani akaun kewangan 1MDB bagi tahun 2013.

Disoal lanjut, Mohd Hazem bagaimanapun tidak bersetuju bahawa beliau, Azmi dan Geh telah mengikuti arahan e-mel Jho Low yang merugikan 1MDB.

Peguam itu juga mencadangkan kepada saksi bahawa sebab mengapa beliau sebagai CEO 1MDB terpaksa bergantung kepada e-mel Jho Low ialah kerana beliau bersubahat dengan ahli perniagaan itu untuk menyembunyikan beberapa fakta daripada firma perakaunan tersebut dan lembaga pengarah 1MDB yang disangkal oleh Mohd Hazem.

Mardhiyah: Mengapa pihak pengurusan (1MDB) tidak dapat memenuhi permintaan KPMG? Mengapa anda tidak boleh memberikan maklumat kepada juruaudit anda? Mengapa perlu bergantung kepada Jho Low dan e-melnya?

Mohd Hazem: Seperti yang saya nyatakan sepanjang prosiding perbicaraan ini, saya bergantung kepada pasukan kewangan dan maklumat yang diberikan oleh Jho Low.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu