Nation
206

Bekas diplomat Ahmad Fuzi dilantik YDP negeri Pulau Pinang ke-8

Georgetown – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik bekas diplomat Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang kelapan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri dimaklumkan secara rasmi mengenai pelantikan itu pada 8 April lalu.

Menurutnya, Ahmad Fuzi akan menerima watikah pelantikan di Istana Negara pada 30 April ini, manakala istiadat angkat sumpah jawatan akan berlangsung pada 1 Mei di Dewan Sri Pinang, di sini.

“Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, kami mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang kelapan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Chow juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketujuh, Tun Abdul Rahman Abbas atas jasanya selama 20 tahun berkhidmat.

Menurutnya, beliau dan kerajaan negeri sudah mengadakan kunjungan hormat terhadap Abdul Rahman pada 12.30 tengah hari tadi untuk memaklumkan kepada beliau mengenai pelantikan Ahmad Fuzi.

Dilahirkan di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 8 Januari 1949, Ahmad Fuzi menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara pada 1972 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri sehingga 2009.

Beliau pernah mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa dan terbabit dalam penganjuran sidang kemuncak seperti Sidang Kemuncak NAM, Sidang Kemuncak OIC dan Sidang Kemuncak Asean.

Dalam bidang korporat, beliau adalah Pengerusi pelbagai syarikat termasuk Takaful Malaysia Keluarga Bhd, Takaful Malaysia Am Bhd, AsiaEP Bhd, Amanahraya REIT Bhd dan Ranhill Energy Resources Sdn Bhd.

Beliau kini Setiausaha Agung Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia, Pengerusi Kumpulan ACE Holdings Bhd dan Pengerusi ACE Investment Bank Ltd, Seremban Engineering Bhd, Theatre Management Associates Sdn Bhd, IMAN Research Consulting Sdn Bhd dan TAERG International Sdn Bhd.

Beliau juga menganggotai Lembaga Gabenor Universiti Meritus dan Penasihat Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam.

Ahmad Fuzi sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu