Kuala Lumpur Post

Social

Bekas eksekutif didakwa 29 pertuduhan pecah amanah

BUTTERWORTH — Seorang bekas eksekutif pentadbiran syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 29 pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah lebih RM350,000.

Bagaimanapun, tertuduh, M Vijairani,44, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Vijairani yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif pentadbiran diamanahkan mengurus harta syarikat, namun secara curang melakukan pecah amanah wang keseluruhan berjumlah lebih RM350,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat Force One Protection (M) Sdn Bhd di Jalan Chain Ferry, Taman Inderawasih Perai pada 20 April 2021 hingga 25 Mei 2023.

Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili peguam G Shanmugam.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan meminta tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan tahap keseriusan kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu anak guamnya dibenar ikat jamin dengan nilai jaminan secara kolektif bagi semua kes dan pertuduhan dihadapi.

Ini kerana, tertuduh yang juga ibu tunggal membesarkan dua anak berusia 10 dan 11 tahun, tidak lagi mempunyai pendapatan, selain perlu menanggung seorang ibu berusia 74 tahun.

Tertuduh juga sebelum ini tidak mempunyai rekod jenayah dan bersedia mematuhi segala syarat tambahan yang dikenakan terhadapnya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan membabitkan jumlah keseluruhan RM87,000 dengan dua penjamin yang mempunyai pendapatan RM5,000 sebulan ke atas.

Selain itu, tertuduh juga diminta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Kes akan disebut semula pada 24 Januari depan untuk serahan dokumen.

Tags: , ,