TAWAU — Bekas isteri kepada pemandu e-panggilan bersama adik tirinya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau hari ini atas pertuduhan bunuh.
Bagaimanapun, Nurima Juli, 35, dan Sadam Kiram, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Duncan Sikodol, menurut Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan 2023.
Pendakwaan terhadap mereka dikemuakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Duncan kemudiannya menetapkan 18 Okt untuk pengurusan kes sementara beliau mengemukakan permohonan kebenaran pengecualian mendengar kes itu daripada Hakim Besar Sabah Sarawak.
Hakim juga berkata beliau tidak boleh mendengar kes terbabit bagi mengelak ketidakadilan dan penghakiman berat sebelah memandangkan kes itu sebelum ini didengar di hadapannya ketika tertuduh pertama (Nurima) tampil sebagai saksi utama pihak pendakwaan.
Perbicaraan kes bunuh berprofil tinggi itu membabitkan pegawai kanan polis itu, termasuk bekas Ketua Staf Perisikan Esscom Mat Zaki Md Zain bersama tujuh individu lain yang didakwa bersubahat dan membunuh Nurman.
Bagaimanapun pada 25 Jan lalu, mahkamah membebaskan dan melepaskan kesemua lapan tertuduh terbabit selepas pihak pendakwaan memohon untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas semua tertuduh berikutan pengakuan mengejut Nurima mengaku membunuh Nurman yang juga bekas suaminya.