Kuala Lumpur Post

Social

Bekas pegawai eksekutif GLC direman SPRM

PETALING JAYA — Seorang wanita yang juga bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman enam hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan tuntutan palsu.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mengeluarkan perintah tahanan reman bermula hari ini terhadap wanita berusia lingkungan 40-an itu.

Wanita itu disyaki menyalahgunakan jawatannya untuk menyokong pelantikan syarikat suaminya bagi mendapatkan kontrak bernilai kira-kira RM1.4 juta serta bersubahat dengan seorang pemilik syarikat berusia 50-an dengan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung ujian saringan Covid-19 dan pembekalan barangan plastik masing-masing bernilai RM2,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan antara 2.30 dan 3.50 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

Katanya, suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2019 dengan menggunakan jawatannya bagi mencadang dan menyokong syarikat suaminya mendapatkan kontrak pembekalan pekerja.

Dalam kes kedua, wanita itu juga dipercayai bersubahat bersama suspek kedua mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan ujian saringan Covid-19 pada 2022, sedangkan ujian itu tidak dilaksanakan.

Pada 2023, suspek utama juga disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan pembekalan barangan plastik, sedangkan barangan itu tidak dibekalkan, katanya menurut Berita Harian.

Suspek kedua bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, yang mengesahkan tangkapan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lain akan dilakukan bagi membantu siasatan.