Social
148
0

Bekas pegawai kebudayaan didenda RM40,000

Ipoh – Seorang bekas penjawat awam dijatuhi hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM25,500 pada 2018 lepas.

Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan Herman Ibrahim, 46, bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu dipenjara lapan bulan lagi bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Herman bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM232,100 di tempat dan masa berbeza pada 2018 dan 2019 mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah selepas kesemua pertuduhan itu diambil kira pihak pendakwaan.

Indra Nehru membuat keputusan itu hasil rundingan akuan dan persetujuan pihak pembelaan serta pihak pendakwaan mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, Herman mengaku bersalah atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM7,500 sebagai balasan daripada pemilik syarikat Pro Explore Event Management, Mohd Zulkhibri Abdul Mutalib di Public Bank Berhad, Jalan Sultan Idris Shah, di sini, pada 15 Nov 2018 ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.

Dia turut mengaku bersalah atas pertuduhan menerima RM18,000 daripada pemilik Syarikat Shadess Event Planner yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di sekitar kawasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada 18 Nov 2018.

Hakim turut mengarahkan harta sitaan daripada Herman iaitu sebuah kedai dobi dan barang-barang kemas dipulangkan kembali dengan bayaran RM45,000 kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala Herman diwakili peguam Khairilazwar Khalil.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, seorang Pegawai Perancang Bandar dan Desa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM4,500, di Besut, pada 4 Sep 2018,

Zariman Ibrahim, 41, yang bertugas di salah sebuah pejabat daerah di Terengganu didakwa menerima wang tunai itu daripada Nor Hashimi Hassan, yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya, dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Zariman melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam, dan mahkamah menetapkan sebutan kes pada 9 Mac ini. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu