KANGAR — Bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara Elly Idzlianizar Elias meninggal dunia semalam akibat ditetak dalam pergaduhan di Kangar.
Kejadian dipercayai berlaku antara 9 hingga 10 malam Selasa di Taman Behor Gonchar Jaya.
Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 11.13 malam membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu.
Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan, katanya di IPD Kangar hari ini, menurut Harian Metro.
Beliau berkata, Elly bagaimanapun meninggal dunia sekitar 12.30 tengah malam akibat parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.
Katanya, bedah siasat mendapati mangsa berusia 40 tahun meninggal dunia akibat pendarahan teruk.
Mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan di mana satu kesan tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan, katanya.
Susulan itu, tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun dipercayai terbabit pergaduhan ditahan di beberapa lokasi di Kangar.
Menurutnya, polis merampas telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112cm dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.
“Saringan ujian air kencing mendapati hanya suspek utama positif dadah…dan (didapati) mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.
Suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod membabitkan pelbagai jenayah dan dadah, manakala suspek ketiga berusia 31 tahun yang juga anak suspek pertama, mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah, katanya.
Yusharifuddin berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila mangsa mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamannya di taman perumahan itu, dalam keadaan marah, namun lelaki tersebut tiada di rumah.
Mangsa beredar namun terserempak suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama, katanya.
Katanya, mangsa dan suspek saling mengenali namun motif kejadian masih dalam siasatan.