Nation
85

Bekas pengarah AIAC saman Thomas, 12 yang lain

Kuala Lumpur – Bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Prof Dr N. Sundra Rajoo  memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull dan Kerajaan Malaysia berhubung penahanan dan pendakwaan salah terhadapnya berkaitan kes pecah amanah wang AIAC.

Sundra Rajoo selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Cheok Ng Lee di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Thomas; Khong Hui Li; Mohd Adrian Zaiman Zainiar; Md Yusrin Md Yusof; Mohd Fadhly Mohd Zamry; T. Nesavan; G. Sharan Raj; Hasmizzy Md Hasim; Kamal Baharin Omar; Mohd Zaki Mohd Salleh; Mohamad Shukri; SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pernyataan tuntutan Sundra Rajoo mendakwa, atas arahan Mohamad Shukri dan Thomas, pegawai SPRM Mohd Adrian serta Md Yusrin telah menahannya secara salah dari 8 malam pada 20 Nov 2018 hingga 5 petang, 21 Nov 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana tidak menurut undang-undang di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sundra Rajoo mendakwa Mohd Adrian dan Md Yusrin menahannya walaupun beliau telah memberitahu mereka bahawa beliau telah diberikan keistimewaan dan kekebalan seperti yang diberikan kepada seseorang ejen diplomatik berkenaan dengan tindakan dan perkara yang dilaksanakan dalam kapasitinya sebagai pegawai tinggi.

Dakwa plaintif, berdasarkan kedudukan plaintif sebagai pengarah AIAC (ketika itu), beliau merupakan seorang pegawai tinggi dalam tafsiran Peraturan-Peraturan Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur 1996 (Peraturan-Peraturan AIAC) yang dibuat di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 (Akta 485).

Sundra Rajoo mendakwa, pada 5 Mac 2019, beliau memohon untuk memulakan prosiding kebenaran semakan kehakiman terhadap peguam negara, SPRM dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi di sini, antara lain memohon pengisytiharan bahawa beliau kebal dari prosiding jenayah sebagai bekas pegawai tinggi.

Dakwanya, pada 25 Mac 2019, Kamal (Timbalan Pendakwa Raya) membuat pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang AIAC bagi pembelian salinan buku berjudul ‘Undang-Undang, Amalan dan Prosedur Timbang Tara’ yang dikarang oleh plaintif.

“Semasa tiga pertuduhan itu dibacakan, Thomas dan Kamal mengetahui bahawa plaintif mempunyai kekebalan daripada prosiding jenayah.

“Tiga pertuduhan itu sendiri menyatakan bahawa tindakan itu adalah berkaitan dengan perkara yang dilakukan oleh plaintif selaku pengarah AIAC dan Thomas serta Kamal juga mengetahui bahawa pendengaran bagi kebenaran permohonan semakan kehakiman itu pada keesokan hari,” dakwa plaintif yang turut memaklumkan Mahkamah Sesyen pada 22 Jan 2020 telah membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah itu.

Plaintif mendakwa, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman itu dan beliau membuat rayuan berhubung keputusan tersebut dan Mahkamah Rayuan kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit.

“Plaintif kemudian telah meminda permohonan semakan kehakiman dengan memohon perintah certiorari untuk membatalkan tiga pertuduhan tersebut. Mahkamah Tinggi mendapati bahawa plaintif masih kebal dari prosiding jenayah berkenaan dengan tindakan atau perkara yang dilakukan atas kapasitinya sebagai pengarah AIAC.

“Mahkamah Tinggi antara lain membatalkan tiga pertuduhan itu selepas mendapati pertuduhan tersebut tidak boleh dipercayai kerana pembelian buku-buku untuk tujuan promosi AIAC telah dipersetujui oleh Organisasi Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO) dan royalti yang diperoleh plaintif telah dikembalikan kepada AIAC,” dakwa Sundra Rajoo dalam pernyataan tuntutan itu.

Selain itu, Sundra Rajoo mendakwa beliau telah direman dan disingkirkan secara paksa dari jawatannya sebagai pengarah AIAC dan penahanannya itu adalah bersifat tort selain mendakwa akibat daripada penahanan itu, beliau telah dicemuh dan reputasinya turut terjejas.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM 3,749,557.26, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah pada kadar lima peratus dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh ke atas semua jumlah yang diperintahkan, kos atau perintah lanjutan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan pada 12 Nov ini secara dalam talian (e-Review), lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu