Kuala Lumpur Post

Social

Bekas pengetua, kakitangan sekolah ditahan SPRM

JOHOR BAHRU — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas pengetua dan seorang kakitangan sebuah sekolah di negeri ini, pagi tadi, bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa.

Menurut sumber, bekas pengetua berusia 60 tahun dan kakitangan berusia 41 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang antara pukul 11 dan 11.30 tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada tahun 2015 sehingga tahun lepas, kakitangan berkenaan telah menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan di sekolah itu kepada syarikat miliknya sendiri.

Pada masa yang sama, bekas pengetua sekolah itu juga dikatakan dengan niat bersama meluluskan kerja-kerja berkenaan kepada syarikat itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias mengesahkan penahanan dan menyatakan kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua individu itu kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Bernama.

Tags: , , ,