Social
183

Bekas pengurus didakwa 16 pertuduhan pengubahan wang haram

Seremban – Seorang bekas pengurus syarikat pemaju perumahan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM209,000.

Bagi semua pertuduhan, Wong Tze Wei, 47, didakwa melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram melalui baucar pembayaran milik syarikat itu.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Great Five Development Sdn Bhd, No 56M Tingkat 2, Jalan Era Square 4, Seremban, antara 2 Februari 2016 dan 30 Mac 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda sehingga RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal mencadangkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

Peguam S.Prakash bagaimanapun memohon anak guamnya diikat jamin RM20,000 bagi semua pertuduhan atas alasan Wong tidak bekerja dan membayar jaminan RM460,000 bagi kes sebelum ini.

Hakim Madihah Harullah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan pembayaran perlu dilakukan selewat-lewatnya Isnin ini.

Mahkamah menetapkan 8 dan 9 Mac untuk sebutan semula kes.

Wong sebelum ini pernah didakwa dengan 78 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM922,500 pada tahun 2018. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu