Social
123

Bekas penjawat awam dipenjara, denda RM10,000

Ipoh – Seorang bekas penjawat awam dihukum penjara sembilan bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota polis, tahun lepas.

Hakim S. Indra Nehru mengarahkan R. Lingeswaran, 38, yang merupakan bekas pekerja rendah awam bahagian kejuruteraan Majlis Perbandaran Taiping itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 14 Julai 2020 dan dipenjara dua minggu lagi jika gagal membayar denda.

Bapa dua anak itu didakwa secara rasuah memberi suatu suapan wang tunai RM350 kepada Sarjan Polis yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam bagi menjalankan pemeriksaan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Jalan Tupai, Taiping pada kira-kira 9.20 malam, 13 Julai 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin dan Pegawai Pendakwa Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala Lingeswaran tidak diwakili peguam. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu