Social
632

Bekas penyelia restoran ditahan kes dera, eksploitasi pekerja

Petaling Jaya – Polis menahan reman seorang bekas penyelia sebuah restoran di Petaling Jaya bagi membantu siasatan kes penderaan dan eksploitasi pekerja asing dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Mac tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditangkap pada Jumaat lepas, susulan pendedahan seorang lelaki warga India dalam temu bual yang disiarkan oleh stesen televisyen India dan kemudian tular.

Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan mengaku sebagai bekas pekerja restoran tersebut dan dia menceritakan pengalamannya bekerja di situ selain mendakwa dieksploitasi dengan cara tidak dibayar gaji serta dipukul dan didera.

“Selain itu dia turut mendakwa telah menyaksikan rakan sekerjanya juga warga India telah dibakar di bahagian kaki oleh majikan di restoran terbabit, dipercayai berlaku pada Mac tahun lepas.

“Polis kemudian menjalankan siasatan lanjut dan seterusnya berjaya menyelamatkan dua mangsa lelaki warga India berumur 22 dan 34 tahun yang merupakan pekerja dan bekas pekerja di restoran itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata hasil siasatan lanjut ke atas kedua-dua mereka kemudian membawa kepada penahanan suspek pada kira-kira 4.30 petang Jumaat lalu.

Beliau berkata suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah serta direman selama enam hari bermula semalam hingga 24 Jun ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) manakala kedua-dua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan lelaki setelah Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari di bawah Seksyen 44 (2) ATIPSOM 2007 diperoleh,” katanya.

Mohamad Fakhruddin berkata pihaknya juga akan meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan lelaki yang membuat dakwaan dalam rakaman video berkenaan. — Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu