Nation
174
0

Bekas pesakit COVID-19 jadikan pengalaman di PKRC kenangan berharga

Kuala Lumpur – Bekas pesakit COVID-19, Nurul Hidayah Mohd Taib menjadikan pengalaman selama tujuh hari di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), di Selagon, Beaufort, pada awal November lalu sebagai kenangan berharga dan bermakna.

Nurul Hidayah, 34, yang merupakan seorang guru tidak menafikan dirinya cemas selepas disahkan dijangkiti COVID-19 pada penghujung Oktober lalu, sedangkan dia sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjalani kehidupan seharian sejak penularan wabak itu pada awal tahun ini.

“Tiada individu ingin dijangkiti wabak ini, begitu juga dengan saya. Saya sendiri sama sekali tidak pernah menyangka akan merasai pengalaman menjalani kuarantin sebagai pesakit COVID-19 apatah lagi tinggal beberapa bulan sahaja lagi tahun 2020 yang penuh mencabar ini, melabuhkan tirainya,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan pengalaman berdepan virus berkenaan, ibu dua anak itu mengetahui bahawa dirinya berisiko tinggi terkena jangkitan selepas ahli keluarga termasuk suaminya terlebih dahulu disahkan positif COVID-19 dan menjalani rawatan di hospital dan pusat kuarantin.

Bagaimanapun, Nurul Hidayah yang sehingga kini masih tidak mengetahui daripada mana punca ahli keluarganya mendapat jangkitan wabak berkenaan menerima dugaan tersebut dengan reda dan hati terbuka selain melihat ia dari sudut positif.

Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di sebuah sekolah di Beaufort itu turut bersyukur kerana kedua-dua anaknya yang berumur lima tahun dan lapan bulan bebas daripada jangkitan COVID-19, namun sedih terpaksa meninggalkan cahaya matanya itu buat sementara waktu untuk mendapatkan rawatan agar segera pulih.

“Empat hari selepas menjalani ujian saringan pada 28 Okt lalu, saya menerima panggilan daripada CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis) Beaufort yang memberitahu bahawa keputusan ujian saringan mendapati saya positif COVID-19. Saya diberi pilihan sama ada menaiki ambulans atau bergerak sendiri ke PKRC.

“Saya memilih untuk bergerak sendiri ke pusat kuarantin. Saya telah mempersiapkan mental dan fizikal untuk bersedia menghadapi situasi ini dengan tenang dan minda yang positif,” katanya, yang mengalami tanda-tanda awal dijangkiti COVID-19 seperti selesema selain turut hilang deria rasa dan deria bau.

Mengenai pengalamannya di PKRC Selagon, Nurul Hidayah memuji komitmen petugas barisan hadapan di pusat kuarantin itu kerana selain komited memberi rawatan mereka turut kreatif menghiburkan para pesakit COVID-19 dengan penuh dedikasi, mesra dan ramah meskipun lengkap memakai sut PPE.

“Lebih mengharukan apabila para petugas barisan hadapan ini membuat kejutan sambutan hari lahir untuk kanak-kanak di pusat kuarantin itu.

“Walaupun diadakan secara sederhana tetapi jelas kegembiraan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang turut sama meraikannya,” katanya yang menghabiskan masa di PKRC Selagon menyediakan bahan pembelajaran dalam talian serta soalan peperiksaan akhir tahun untuk murid-muridnya.

Nurul Hidayah yang kini pulih sepenuhnya daripada COVID-19 berkata pengalaman di PKRC turut membuka matanya betapa tinggi perasaan empati dan peduli masyarakat yang tampil memberi sumbangan bukan hanya kepada pesakit tetapi juga petugas barisan hadapan yang cukup komited memerangi wabak ini.

Dia turut menjadikan laman Facebooknya sebagai saluran untuk berkongsi pengalaman sebagai bekas pesakit COVID-19 dan sepanjang berada di pusat kuarantin bagi mengikis stigma negatif masyarakat sekali gus mendidik dan menyedarkan mereka supaya tidak menyisihkan mahupun takut mendampingi golongan sepertinya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu