Social
333

Bekas polis dipenjara, didenda

Sepang – Bekas anggota polis dijatuhi hukuman penjara tujuh hari selain didenda RM5,000 kerana menghalang tugas anggota polis yang mengeluarkan saman, terhadap kenderaan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Nov lepas.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Basri Lebai Bawai, 55, yang kini seorang peniaga manakala anaknya, Muhammad Saari Basri, 22, didenda RM2,500 selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, menghalang Lans Koperal Ikhwan Syafiq Ismail daripada menjalankan tugasnya.

Dua beranak itu didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pintu Lima dan Pintu Enam di aras lima terminal utama KLIA kira-kira 1 tengah hari pada 2 Nov lepas, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman pemenjaraan ke atas Basri bermula dari tarikh tangkap pada 5 Nov lepas serta mereka masing-masing akan dipenjara 10 bulan dan tiga bulan, jika gagal membayar denda RM5,000 dan RM2,500 tersebut.

Mengikut fakta kes, ketika Ikhwan Syafiq yang sedang bertugas di tempat kejadian, beliau telah dimaki Basri kerana berang disaman oleh rakan pengadu atas kesalahan parkir kereta di kawasan orang kurang upaya (OKU), serta menghalang lalu lintas.

Ikhwan Syafiq kemudian menuju ke arah kereta Basri dan mengarahkan tertuduh menunjukkan kad pengenalan serta lesen memandu, namun dia enggan dan terus masuk ke dalam kereta.

Pengadu telah cuba menghalang Basri daripada bergerak, namun Muhammad Saari yang merupakan pemandu kereta terus memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya serta seakan mahu melanggar pengadu, dan mereka berdua terus melarikan diri.

Dalam rayuan, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili dua beranak itu memohon, agar mahkamah mengenakan hukuman yang ringan atas alasan kedua-dua anak guamnya, Basri merupakan peniaga yang terkesan akibat pandemik COVID-19, manakala Muhammad Saari masih belajar.

“Kesalahan tersebut timbul akibat isu salah faham kerana Basri menghantar saudaranya yang merupakan OKU ke KLIA, namun keretanya tidak mempunyai pelekat OKU,” hujah Zaflee.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua mereka, kerana isu kemarahan tidak patut dijadikan alasan untuk mereka melakukan kesalahan tersebut, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu