Kuala Lumpur Post

Social

Bekas tentera didakwa bunuh isteri

KANGAR — Seorang bekas tentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga seorang jururawat, akhir September lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Indera Zailan Mohamad Sani, 38, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nor Haliza Md Ali kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh Munirah Abu Bakar, 31, di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau, antara 10 malam, 29 Sept hingga 6.55 pagi, 30 Sept lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Izham Ali manakala Indera Zailan diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Tags: , , ,