Social
338

Bentang usul undi percaya kepada Muhyiddin bukti amalan demokrasi masih hidup : Saifuddin

Kuala Lumpur – Pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pembentangan usul undi percaya kepada beliau pada sidang Parlimen bulan depan membuktikan amalan demokrasi di negara ini masih hidup, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pengumuman itu sekurang-kurangnya boleh menamatkan perdebatan berhubung keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang sering kali dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

“Kita akan mengadakan mesyuarat Parlimen dan soal keabsahan jawatan perdana menteri itu akan diundi di lantai Dewan Rakyat. Itu pada saya adalah demokrasi yang masih hidup. Kita boleh syarah, boleh didebatkan…tapi hakikatnya kalau kita guna nilai ambang, ia memenuhi paling minimum demokrasi itu masih berjalan.

“Pada saya cara yang berhemah, yang orang kata menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Agong…juga yang ditetapkan dalam Perlembagaan yakni pergi ke Parlimen untuk mendapatkan undi sokongan, itu pada saya jalan (kaedah) yang bijaksana. Kalau tidak ia tidak akan ada akhirnya, tiada kesudahannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif bertajuk ‘Meneruskan Penghayatan Demokrasi’ yang disiarkan di TV1 semalam.

Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini berkata beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai perdana menteri di Parlimen dengan membenarkan suatu usul undi percaya kepadanya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

Beliau berkata melalui cara itu, kedudukan beliau sebagai perdana menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Saifuddin menyifatkan tindakan Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi adalah berhemah dan sangat tertib untuk memastikan perkara-perkara yang telah dibincangkan mendapat perkenan Seri Paduka.

“Saya harap ini membuka lembaran baharu dalam kalangan rakyat supaya kita jangan menafsirkan sesuatu di luar kotak sehingga benda yang tidak berlaku kita kata ia telah berlaku dan sebagainya. Pada saya mesyuarat Kabinet tadi, perdana menteri memberikan penjelasan yang cukup jelas dan kesimpulannya ialah ada pertemuan yang sangat baik antara perdana menteri dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji parti PAS yang kekal konsisten dalam memberi sokongan dan dukungan kepada Muhyiddin tidak kira apa yang berlaku dalam perkembangan politik semasa.

“Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sangat konsisten dari segi sokongan dan dukungan kepada perdana menteri, tidak berubah daripada (kepimpinan) atas sampai ke bawah. Mereka juga meneruskan perbincangan, aktiviti dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.

“Jadi perjalanan demokrasi ini panjang, tentu kita mahukan suatu gabungan yang besar, gabungan yang boleh betul-betul menyelamatkan rakyat terutama dalam suasana pandemik sekarang,” katanya.

Ditanya adakah negara menuju politik yang matang, Saifuddin berkata prosesnya adalah panjang dan semua pihak termasuk kerajaan mahupun pembangkang seharusnya cuba mematangkan diri mereka supaya politik demokrasi yang moderat dan bijaksana dapat ditegakkan, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu