Social
622

Berebut parkir: Polis tahan 7 lelaki terbabit pergaduhan

Kuala Lumpur – Polis menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dalam dua kejadian pergaduhan kerana berebut parkir motosikal di kawasan pangsapuri Intan Baiduri, Sungai Way di sini, menyebabkan dua lelaki cedera dan dua kereta yang diletak di kawasan itu rosak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian bermula malam tadi membabitkan sekumpulan lelaki kira-kira 11 orang yang bergaduh susulan tidak berpuas hati kerana berebut parkir.

“Mereka yang cedera berusia 20 dan 34 tahun. Seorang yang cedera parah di betis kiri dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala seorang lagi menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati parang turut digunakan dalam kejadian pada 11 malam dan 1.30 pagi itu dan kesemua mereka yang terbabit dalam pergaduhan disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

“Empat lagi suspek yang masih bebas telah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka masih dijalankan,” katanya sambil memberitahu permohonan reman terhadap kesemua lelaki berusia antara 16 dan 30 tahun itu akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi pegawai penyiasat Insp R. Sangaran di talian 012-5390380 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya 03-79662176. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu